fb fb fb fb fb

Tiga rakyat Palestin maut, cuba dapatkan roti

Penduduk Palestin menunggu giliran untuk mendapatkan roti di kem Nuseirat/ AFP

GAZA, 30 November- Seorang kanak-kanak dan dua wanita maut dipijak dalam rempuhan di sebuah kedai roti di bandar Deir el-Balah pada Jumaat.

"Dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia di hadapan kedai roti di Deir al-Balah akibat rempuhan ketika cuba membeli roti", kata hospital Al-Aqsa Deir el-Balah dalam satu kenyataan.

"Keadaan sesak mengakibatkan tolak-menolak sangat kuat di hadapan kedai roti. Tiba-tiba, terdengar jeritan kuat, dan mereka jatuh ke tanah. Akibat lemas dengan keadaan itu ia telah meragut tiga nyawa," kata seorang saksi kepada AFP.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku", kata Osama Abu Luban, bapa kepada gadis yang meninggal dunia kepada AFP.

"Saya pergi ke pasar bersama anak perempuan saya. Dia pergi membeli roti, dan dia hampir tidak sempat mendapatkan sebuku roti sebelum berada dalam rempuhan sekumpulan wanita. Mayatnya dibawa keluar selepas rempuhan itu," katanya.

Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan semua kedai roti di Gaza terpaksa ditutup pada Rabu kerana kekurangan bekalan selain mengeluarkan amaran 'kebuluran' di Gaza.

Israel telah mengenakan pengepungan hampir keseluruhan Gaza sejak perang bermula lebih setahun lalu.

Sejak itu, PBB dan pertubuhan antarabangsa berulang kali menyeru Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah tersebut.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran tentang kebuluran di seluruh Gaza semakin teruk. Dua pertiga daripada kes kekurangan zat makanan dalam kanak-kanak 2024 dilaporkan sejak lima bulan lalu.

Sekurang-kurangnya 44,363 penduduk Palestin maut di Gaza sejak permulaan perang.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI