Syria, 17 Julai - Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 34 lagi cedera apabila tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Kementerian Pertahanan Syria yang terletak berhampiran Istana Presiden di ibu negara, Damsyik.
Serangan berlaku selepas Israel mengancam untuk meningkatkan operasi jika tentera kerajaan Syria tidak ditarik balik dari selatan negara itu di mana berlaku pertempuran antara militan Druze dan pasukan keselamatan.
Ketua Staf, Eyal Zamir mengakui, Israel melancarkan operasi pengeboman terhadap sasaran kerajaan di Damsyik sehingga menyebabkan kerosakan ibu pejabat Kementerian Pertahanan Syria .
Televisyen Syria melaporkan beberapa serangan Israel berlaku berhampiran ibu pejabat tentera dan Kementerian Pertahanan di Damsyik.
Kementerian luar Syria dalam satu kenyataan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah-langkah segera dan konkrit bagi menghentikan tindakan agresif Israel berulang.
"Syria menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas peningkatan berbahaya ini dan akibatnya serta menegaskan bahawa ia mengekalkan semua hak sahnya untuk mempertahankan tanah dan rakyatnya dengan semua cara yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa," katanya. - AFP