fb fb fb fb fb

Tiga maut akibat serangan udara Rusia di Kharkiv

FOTO REUTERS

KIEV, 29 Oktober- Serangan Rusia di kawasan perumahan bandar kedua terbesar Ukraine, Kharkiv, telah mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa pada Selasa.

"Pada 2.51 pagi, Kharkiv diserang melalui udara," kata Datuk Bandar Kharkiv, Igor Terekhov di Telegram.

Tambah beliau lagi, dua rumah musnah teruk dan 20 lagi kediaman mengalami pelbagai tahap kerosakan.

Beliau juga memaklumkan pasukan penyelamat sedang membersihkan runtuhan dan tiga orang telah disahkan meninggal dunia.

Kharkiv terletak sekitar 30 kilometer dari sempadan Rusia dan telah diserang oleh Rusia sepanjang dua setengah tahun perang.

Serangan Rusia sehari sebelum itu juga telah merosakkan bangunan Derzhprom, sebuah pencakar langit moden dari era Soviet yang menjadi simbol bagi bandar timur laut yang sering diserang itu.

Serangan berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang cedera dan turut merosakkan sebuah institusi perubatan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE