fb fb fb fb fb

Tidak sependapat dengan Trudeau, TPM Kanada letak jawatan

Justin Trudeau dan Chrystia Freeland/AFP

OTTAWA, 18 Disember- Timbalan Perdana Menteri Kanada Chrystia Freeland mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin selepas berbeza pendapat dengan Perdana Menteri Justin Trudeau berkenaan tarif import yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik Donald Trump.

Freeland yang juga merupakan Menteri Kewangan mengundurkan diri selepas menyatakan ketidaksetujuan dengan pelan Trudeau mengenai langkah terbaik untuk Kanada berhadapan dengan ancaman tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan import dari Kanada.

Dalam surat peletakan jawatannya, Freeland menekankan bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran besar terutamanya berhubung dengan isu tarif yang boleh mencetuskan "perang tarif" dengan Amerika Syarikat.

Reaksi Trump terhadap peletakan jawatan Freeland turut mendapat perhatian apabila beliau menulis di Truth Social menyatakan bahawa Freeland "tidak akan dirindui" dan mengkritik tingkah lakunya yang dianggap merosakkan proses perundingan.

Freeland yang pertama kali dipilih ke Parlimen pada tahun 2013 telah memegang pelbagai jawatan penting dalam Kabinet Trudeau termasuk sebagai Menteri Perdagangan dan Menteri Luar Negara serta memimpin perundingan perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. Baru-baru ini, beliau diangkat sebagai salah satu calon pengganti Trudeau.

Sebagai reaksi terhadap peletakan jawatan tersebut, Menteri Keselamatan Awam Dominic LeBlanc telah dilantik sebagai Menteri Kewangan yang baru dan segera berhadapan dengan defisit belanjawan negara yang dijangka meningkat kepada CAN$62 bilion iaitu peningkatan sebanyak CAN$22 bilion berbanding anggaran asal akibat 'perbelanjaan tidak dijangka.'

Perpecahan dalam Kabinet memberi tamparan hebat kepada Trudeau yang menghadapi kemerosotan sokongan dalam tinjauan awam terutama apabila pesaing utama beliau, Pierre Poilievre daripada Parti Konservatif berada pada kedudukan lebih kuat.

Keputusan Freeland untuk tetap bertanding dalam pilihan raya akan datang pada Oktober 2025 memberi sedikit harapan kepada penyokongnya tetapi ketidakharmonian dalam Kabinet memberi petanda bahawa masa depan politik Trudeau mungkin bergantung pada tindak balas terhadap situasi semasa ini. -AFP

SITI AISHAH MD ISA