fb fb fb fb fb

Tiada rumusan nahas Air India selagi laporan akhir belum dikeluarkan

Bangkai pesawat Air India Boeing 787-8 Dreamliner / Foto REUTERS

NEW DELHI, 12 Julai - Tiada sebarang rumusan akan dibuat berhubung nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa bulan lalu selagi laporan akhir belum dikeluarkan.

Menteri Penerbangan Awam Persekutuan India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu menegaskan, laporan awal yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) pada Sabtu hanya berdasarkan penemuan awal.

Jelas beliau, kementeriannya masih menganalisis dokumen tersebut.

“Ini hanya laporan awal. Pihak kementerian sedang meneliti kandungannya, tetapi saya rasa lebih wajar untuk kami mengulas selepas laporan akhir dikeluarkan,” katanya kepada media.

Laporan awal AAIB mendedahkan bekalan bahan api ke enjin pesawat Boeing 787-8 terputus susulan kekeliruan antara juruterbang berhubung pergerakan suis enjin di kokpit.

Tiada kerosakan besar dikesan pada pesawat atau enjinnya setakat ini dan tiada cadangan tindakan dikeluarkan terhadap pengeluar mahupun pengendali pesawat berkenaan.

Susulan laporan itu, Air India dan Boeing menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama penuh dalam siasatan AAIB.

Laporan setebal 15 muka surat yang diterbitkan sebulan selepas tragedi itu menjadi gambaran rasmi pertama mengenai detik akhir nahas udara terburuk India dalam beberapa dekad.

Sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai punca kegagalan enjin berkembar secara serentak.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India yang dalam penerbangan ke London terhempas pada 12 Jun lalu, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, Gujarat.

Tragedi itu mengorbankan semua penumpang dan anak kapal kecuali seorang daripada 242 orang di dalamnya.

AAIB ialah agensi kerajaan India yang menjalankan siasatan kemalangan pesawat mengikut piawaian dan protokol antarabangsa.

Siasatan nahas ini dimulakan segera dengan pasukan pelbagai disiplin ditubuhkan keesokan harinya. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN