fb fb fb fb fb

Tiada keselamatan buat Israel sehingga penduduk Palestin benar-benar bebas- Haniyeh

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh/FOTO www.aa.com.tr

GAZA, 24 Oktober - Ketua biro politik kumpulan pejuang Hamas, Ismail Haniyeh menegaskan tiada keselamatan buat penjajah (Israel) sehingga penduduk Palestin mendapat jaminan keselamatan dan kebebasan.

"Jenayah yang dilakukan Israel tidak mengenal rakyat. Mereka membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua serta melakukan pembunuhan beramai-ramai yang paling mengerikan di seluruh Semenanjung Gaza.

"Menerusi perbuatan tersebut, Israel membuka lembaran baharu sejarah yang memalukan", kata Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Kritikan tersebut disuarakannya ketika serangan Israel yang semakin 'menggila' di semenanjung Gaza yang dikepung sejak 7 Oktober lalu.

Tindakan tersebut didakwa sebagai tindak balas rejim berkenaan selepas kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke wilayah yang diduduki Israel dalam operasi yang dikenali sebagai Operasi 'Ribut Al-Aqsa'.

Operasi tersebut dilakukan bagi membalas tindakan rejim Israel yang memperhebatkan jenayah dan penganiayaan terhadap rakyat Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan Israel setakat ini telah membunuh lebih 5,000 rakyat Palestin, termasuk 2,055 kanak-kanak dan 1,119 wanita, manakala lebih 15,000 orang cedera.

Ismail turut membidas dan mengkritik pemimpin Arab dan negara-negara Islam kerana tidak melakukan sebarang tindakan dalam menghadapi jenayah Israel.

"Berapa banyak darah dan pembunuhan beramai-ramai diperlukan oleh anda (pemimpin Arab dan Islam) agar anda mempunyai pendirian bagi menghadapi pembunuhan beramai-ramai. kanak-kanak, wanita dan orang tua di Gaza?", katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Ismail turut menyindir Barat yang mendakwa merupakan penyokong kepada hak asasi manusia sejagat, namun membiarkan jenayah kemanusiaan berleluasa di Gaza.- www.presstv.ir

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD