fb fb fb fb fb

Thaksin didakwa hina institusi diraja Thai

FOTO AFP

BANGKOK, 18 Jun- Pendakwa raya Thailand pada Selasa secara rasmi mendakwa bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra bawah undang-undang penghinaan diraja atas komen yang dibuatnya hampir sedekad lalu.

Kes terhadap jutawan berusia 74 tahun itu, berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik baharu dalam kerajaan semasa yang terdedah kepada rampasan kuasa.

Thaksin,yang mengetuai kerajaan campuran, dituduh 'lese-majeste' atas temu bual yang diberikannya kepada media Korea Selatan pada 2015.

"Hari ini seorang pendakwa raya negeri mendakwa Thaksin Shinawatra dan mahkamah menerima kes itu," kata pejabat peguam negara dalam satu kenyataan.

Bekas pemilik Manchester City itu dibenarkan ikat jamin dengan bon 500,000 baht (AS$13,500) dan diperintahkan untuk tidak meninggalkan negara itu tanpa kebenaran, kata pegawai mahkamah.

Thailand mempunyai beberapa undang-undang fitnah diraja paling ketat di dunia yang melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarga terdekatnya, dengan setiap pertuduhan membawa kemungkinan hukuman penjara 15 tahun.

Pengkritik berkata undang-undang itu disalahgunakan untuk menyekat perdebatan politik yang sah, dan terdapat peningkatan dalam penggunaannya sejak protes jalanan antikerajaan pimpinan belia pada 2020 dan 2021.

Thaksin adalah nama terbesar dalam kalangan lebih 270 orang yang didakwa mengikut undang-undang sejak protes, menurut Thai Lawyers for Human Rights.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE