ULAANBAATAR, 2 Jun- Parlimen Mongolia dijangka mengundi pada Isnin sama ada untuk mengekalkan kerajaan campuran yang semakin rapuh, di tengah-tengah protes terhadap Perdana Menteri Luvsannamsrain Oyun-Erdene yang didakwa terlibat dalam rasuah.
Mongolia, sebuah negara demokrasi daratan di Asia Utara, telah lama dibelenggu isu rasuah dengan dakwaan bahawa golongan elit kaya mengaut keuntungan daripada industri perlombongan arang batu negara ini.
Ketegangan memuncak bulan lalu selepas laporan perbelanjaan mewah anak lelaki Oyun-Erdene tersebar, mencetuskan protes di ibu negara, Ulaanbaatar.
Oyun-Erdene dijadualkan berucap di hadapan Parlimen Mongolia (State Great Khural) pada Isnin sebelum undian keyakinan berlangsung bagi menentukan sama ada kerajaan pimpinannya harus terus mentadbir.
Jika kalah, ia bakal menyaksikan kali pertama seorang perdana menteri Mongolia sendiri mengusulkan undian ke atas pentadbiran beliau dan boleh menyebabkan Oyun-Erdene meletak jawatan.
Ratusan penunjuk perasaan muda berhimpun di dataran luar Parlimen pada pagi Isnin sambil membawa plakad putih dengan slogan: “Mudah untuk berundur.”
Seorang penganjur protes berusia 24 tahun, Ulamsaikhan Otgon, berkata demonstrasi itu telah menunjukkan kepekaan anak muda terhadap ketidakadilan dalam masyarakat Mongolia. Yroolt, seorang pencipta kandungan berusia 30 tahun, berkata dia menghadiri protes untuk kali kedua kerana inginkan kehidupan dan masyarakat yang berbeza.
“Semua orang tahu ketidakadilan sudah lama wujud dalam masyarakat kita, tapi inilah masa untuk perubahan,” katanya kepada wartawan AFP, enggan mendedahkan nama penuh atas sebab privasi.
Mongolia kini diperintah oleh kerajaan campuran tiga parti selepas pilihan raya tahun lalu menyaksikan majoriti Parti Rakyat Mongolia (MPP) pimpinan Oyun-Erdene berkurang.
Namun, bulan lalu MPP menyingkirkan Parti Demokratik (DP), parti kedua terbesar, daripada perjanjian gabungan selepas beberapa ahli muda DP menyokong gesaan supaya Oyun-Erdene berundur. Langkah itu menambahkan lagi ketidaktentuan politik di negara ini yang sudah pun rapuh.
Sejak Oyun-Erdene menjadi perdana menteri pada 2021, kedudukan Mongolia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International semakin merosot.
Dakwaan terhadap keluarga Oyun-Erdene timbul ketika rakyat berdepan kebimbangan tentang masa depan ekonomi dan kos sara hidup yang kian meningkat.
Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan salah laku tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah, sambil memberi amaran bahawa pengunduran kerajaan boleh membawa kepada kekacauan ekonomi.
Sebilangan penunjuk perasaan pro-kerajaan, kebanyakannya golongan lebih berusia, turut berhimpun bulan lalu bagi menunjukkan sokongan kepada Oyun-Erdene.-AFP