fb fb fb fb fb

"Mohamed mahu melihat semula" : Kanak-kanak Gaza hilang sebelah mata, rayu rawatan untuk selamatkan penglihatan

Mohamed Hijazi, menanti rawatan segera untuk menyelamatkan penglihatannya selepas cedera parah akibat letupan sisa bom yang ditinggalkan tentera Israel di Gaza / REUTERS

GAZA, 2 Jun- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Mohamed Hijazi, kini menanti rawatan segera untuk menyelamatkan penglihatannya selepas cedera parah akibat letupan sisa bom yang ditinggalkan tentera Israel di Gaza.

Mohamed, yang berasal dari Jabalia, Gaza Utara, terselamat daripada beberapa serangan udara dan telah berpindah ke selatan bersama keluarganya untuk melarikan diri daripada pengeboman Israel.

Namun, pada suatu hari pada bulan Mac lalu, beliau secara tidak sengaja menyentuh satu objek mencurigakan yang rupanya adalah sisa bom yang masih aktif.

Menurut bapanya, Abu Mohamed, letupan itu berlaku pada 25 Mac 2025 ketika Mohamed sedang bermain dengan objek tersebut, yang disangkanya mainan.

Letupan berkenaan mengakibatkan mata kanannya terpaksa dibuang, manakala mata kirinya kini terancam akibat risiko atropi jika tidak segera mendapat rawatan di luar Gaza.

“Mohamed cedera akibat letupan daripada objek yang ditinggalkan tentera pendudukan. Pada pagi Selasa itu, kami terdengar letupan. Bila turun, kami nampak Mohamed berlumuran darah.

"Dia menjalani pembedahan kecemasan, mata kanannya terpaksa dibuang. Doktor kata, mata kirinya perlukan keajaiban untuk pulih. Jika Mohamed tidak dibawa keluar untuk rawatan segera, dia mungkin akan kehilangan penglihatan sepenuhnya,” kata Abu Mohamed dengan nada sedih.

Dia kini berusaha keras untuk membawa anaknya keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan. Baginya, adalah sangat pedih melihat anak kecilnya berdepan masa depan yang gelap dan tidak dapat hidup seperti kanak-kanak lain.

“Dengan lintasan yang ditutup, doktor kata ada kemungkinan mata kiri Mohamed akan mengalami atropi. Lagi lama kami tunggu, lagi lama perang berlanjutan dan tiada gencatan senjata, Mohamed mungkin akan hilang penglihatan. Sebagai bapa, sangat sukar bagi saya melihat anak saya tidak dapat bermain seperti kanak-kanak lain,” luah Abu Mohamed.

Di sebalik semua cabaran itu, Mohamed tetap bersemangat untuk meneruskan impiannya.

“Impian Mohamed adalah untuk terus belajar. Dia selalu cakap, ‘Saya nak jadi jurutera.’ Selepas cedera pun dia tetap kata, ‘Saya nak tengok semula dan jadi jurutera supaya saya boleh membina semula selepas kemusnahan ini’,” tambah bapanya dengan penuh harapan.REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE