fb fb fb fb fb

Tentera Sudan kuasai Wad Madani

Foto REUTERS

KAHERAH, 12 Januari – Tentera Sudan pada Sabtu mengumumkan bahawa mereka telah memasuki bandar Wad Madani di bahagian tengah negara itu dan sedang mengusir Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Jika berjaya, ia akan menjadi pencapaian terbesar dalam hampir dua tahun peperangan buat tentera Sudan.

Tentera Sudan menyiarkan video yang menunjukkan anggota tentera berada di dalam bandar tersebut, yang merupakan ibu negeri negeri El Gezira, iaitu sebuah pusat perdagangan dan pertanian yang telah dikuasai RSF sejak Disember 2023.

Penguasaan semula keseluruhan negeri El Gezira boleh menjadi titik perubahan dalam konflik yang bermula pada April 2023 akibat pertikaian berhubung integrasi dua pasukan itu.

Perang berkenaan telah mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan lebih 12 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan separuh daripada populasi menghadapi kebuluran.

"Kepimpinan Angkatan Tentera mengucapkan tahniah kepada rakyat atas kejayaan pasukan memasuki Wad Madani pagi ini (Sabtu).

"Mereka kini sedang membersihkan baki saki-baki pemberontak dalam bandar," kata kenyataan tentera.

Dalam satu ucapan yang dikongsi di Telegram, Mohamed Hamdan Dagalo, pemimpin RSF yang juga dikenali sebagai Hemedti, mengakui kekalahan berkenaan tetapi menegaskan bahawa perjuangan masih belum tamat.

"Kami kehilangan Wad Madani, tetapi kami akan merebutnya semula.

"Rakyat hanya perlu berkumpul semula, menyusun strategi, dan menilai kembali kekuatan mereka," tambahnya.

Hemedti juga menyalahkan kekalahan itu kepada penggunaan dron Iran oleh tentera Sudan serta sokongan pejuang dari wilayah Tigray di Ethiopia.

Sementara itu, laporan daripada Reuters mendapati puluhan pesawat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah terbang ke Chad, dipercayai untuk membekalkan RSF.

UAE menafikan dakwaan itu, walaupun panel pakar PBB menganggap tuduhan tersebut boleh dipercayai.

Negeri El Gezira, yang terletak di tengah negara dan di selatan ibu negara Khartoum, telah menyaksikan beberapa serangan paling kejam RSF terhadap orang awam, termasuk pembakaran ladang, penjarahan hospital dan pasar, serta penyumbatan terusan pengairan.

Meskipun terkenal sebagai hab perdagangan pertanian, Wad Madani kini dianggap berisiko menghadapi kebuluran akibat sekatan yang dikenakan semasa konflik.

Tentera Sudan telah meningkatkan kempen untuk merebut semula El Gezira sejak beberapa bulan lalu selepas menguasai negeri Sennar di selatan, termasuk dengan melancarkan serangan udara yang sering kali turut mengorbankan orang awam.

Komander tertinggi RSF di El Gezira membelot ke tentera Sudan pada Oktober lalu, dan pasukannya turut mengambil bahagian dalam operasi pada Sabtu.

Namun, RSF pada masa itu bertindak balas dengan siri serangan.

Pada masa yang sama, tentera Sudan meneruskan operasi di bandar Bahri, sebahagian daripada kawasan ibu negara yang lebih besar, menyaksikan mereka juga membuat kemajuan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

RSF masih menguasai kebanyakan kawasan barat Sudan, termasuk kawasan Darfur, di mana mereka bertempur dengan tentera untuk menguasai al-Fashir, kubu terakhir RSF di rantau itu.

Kedua-dua pasukan juga terus bertempur di negeri White Nile di selatan negara.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD