fb fb fb fb fb

Tentera Gambia tangkap bekas jeneral disyaki anggota skuad pembunuh

Bekas brigedier jeneral Bora Colley ditahan pada Jumaat

BANJUL, 11 Ogos- Tentera Gambia berkata pada Sabtu bahawa mereka telah menangkap seorang bekas jeneral yang didakwa sebagai ahli skuad pembunuh bawah bekas diktator Yahya Jammeh.

Bekas brigedier jeneral Bora Colley didakwa terlibat dalam unit paramiliter yang digelar "Junglers" yang telah lama dituduh oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia kerana melakukan pembunuhan di luar proses perundangan dan penyeksaan.

"Bekas Jeneral Colley ditangkap pada hari Jumaat, 9 Ogos 2024 sekitar tengah malam apabila dia secara sukarela menyerah diri kepada Polis Tentera GAF di Yundum Barracks," berhampiran ibu kota Banjul, kata Angkatan Bersenjata Gambia dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan perisikan telah menjalankan operasi pengawasan di sekitar kediamannya di Banjul pada hari penangkapannya, menurut kenyataan tersebut.

Colley "kini ditahan dan bekerjasama dengan Polis Tentera dalam siasatan mereka".

Kerajaan Gambia pada tahun 2022 telah menyokong cadangan jawatankuasa yang menyiasat kekejaman yang dilakukan bawah pemerintahan Jammeh, dengan pihak berkuasa bersetuju untuk mendakwa 70 orang, termasuk bekas presiden tersebut, yang berkuasa selepas rampasan kuasa pada tahun 1994.

Jammeh, yang pemerintahannya selama 22 tahun di negara kecil Afrika Barat itu ditandai dengan banyak pelanggaran hak asasi manusia, kalah dalam pilihan raya presiden pada Disember 2016 kepada pemimpin pembangkang Adama Barrow.

Dia melarikan diri dari negara tersebut pada Januari 2017 ke Guinea Khatulistiwa, di mana akhirnya dia mengakui kekalahan dan menyerahkan kuasa.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE