fb fb fb fb fb

24 tentera Sierra Leone dipenjara seumur hidup

Foto REUTERS

FREETOWN, 11 Ogos-Mahkamah tentera Sierra Leone menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada 24 tentera susulan yang terbabit dalam percubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Julius Maada Bio November tahun lalu.

Hukuman berkenaan dibacakan di mahkamah pada lewat Jumaat dengan para hakim memberikan terma hukuman pemenjaraan yang bermula dari 50 tahun sehingga 120 tahun kepada tentera terlibat.

Para tentera berkenaan adalah antara 27 tertuduh yang ditahan mahkamah tentera kerana menyertai cubaan rampasan kuasa pada 26 November.

Insiden berkenaan menyaksikan sekumpulan lelaki bersenjata menyerang berek tentera, penjara dan lokasi lain.

Selain itu, mereka turut membebaskan kira-kira 2,200 banduan dan membunuh lebih 20 orang.

Tujuh juri mendapati 24 tentera berkenaan bersalah dengan keputusan sebulat suara selepas beberapa jam perbincangan.

Mereka menghadapi sejumlah 88 pertuduhan termasuk memberontak, membunuh, membantu musuh dan mencuri harta awam.

Semua pesalah merupakan tentera berpangkat rendah kecuali seorang daripada mereka berpangkat Kolonel didapati bersalah dan menerima hukuman penjara paling lama iaitu kira-kira 120 tahun.

Hakim Mahkamah Tentera, Mark Ngegba dalam keputusannya berkata keputusan berkenaan adalah untuk memberi mesej kepada rakyat bahawa tidak wujud toleransi berhubung tindakan menggulingkan kerajaan.

Percubaan untuk menggulingkan kerajaan Sierra Leone gagal selepas Presiden Bio memenangi pilihan raya dengan majoriti tipis bagi penggal kedua.

Namun, kemenangan Bio dipertikaian oleh parti pembangkang, Parti APC yang mempersoalkan ketelusan pada proses pengundian yang dijalankan.

Hukuman tersebut dilihat menyusul selepas hukuman ke atas 11 orang awam, polis dan pegawai penjara pada Julai lepas susulan turut terlibat dalam pemberontakan berkenaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD