UNITED STATES, 8 Jun - Kenaikan tarif diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melumpuhkan sistem pekerjaan di pelabuhan terbesar dan tersibuk di negara itu.
Menurut laporan Los Angeles Times, jumlah kargo di Pelabuhan Los Angeles dan Long Beach kini mencatatkan penurunan separuh daripada biasa.
"Dasar tarif kerajaan AS telah mengekang eksport ke Amerika dengan teruk, pelabuhan ini pernah menggaji beribu-ribu pekerja dok, pengendali peralatan berat dan pemandu trak. Tetapi kini dengan perdagangan global terganggu oleh tarif Trump, operasi pelabuhan telah menyaksikan penurunan mendadak," menurut laporan itu.
Menurut Pengarah Eksekutif Pelabuhan Los Angeles, Gene Seroka, sepanjang 25 syif kerja terakhir, hanya 733 pekerjaan tersedia untuk 1,575 pencari kerja. Keadaan itu turut menjejaskan pekerja sedia ada.
"Mereka tidak diberhentikan, tetapi mereka tidak bekerja seperti yang mereka lakukan sebelum ini," kata Seroka.
Pelabuhan itu memproses kurang 25 peratus jumlah kargo yang disasarkan pada Mei lepas dan dijangka ia terus berkurangan pada Jun.
Pelabuhan Los Angeles telah disenaraikan sebagai pelabuhan kontena terbesar di AS setiap tahun sejak 2000. Di California sahaja, hampir 1 juta pekerjaan berkaitan dengan perdagangan melalui pelabuhan.
Trend penurunan dalam penghantaran djangka mempunyai kesan yang lebih luas ke atas ekonomi logistik Los Angeles.
Laporan 2023 mendapati bahawa pelabuhan Los Angeles dan Long Beach menyumbang 21.8 bilion dolar dalam hasil langsung kepada penyedia perkhidmatan tempatan. Ia menjana 2.7 bilion dolar dalam cukai negeri dan tempatan serta mewujudkan 165,462 pekerjaan, secara langsung dan tidak langsung.
Penurunan hanya 1 peratus dalam kargo ke pelabuhan akan menghapuskan 2,769 pekerjaan dan membahayakan sebanyak 4,000 yang lain. - REUTERS