fb fb fb fb fb

Tarif keluli, aluminium: Trump pertimbang pengecualian terhadap Australia

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese / Foto REUTERS

SYDNEY, 11 Februari-Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersetuju untuk mempertimbangkan pengecualian Australia daripada tarif keluli dan aluminium susulan lebihan dagangan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).

Trump meningkatkan tarif ke atas import keluli dan aluminium secara drastik pada Isnin, dengan membatalkan pengecualian dan kuota bebas cukai bagi pembekal utama.

Langkah tersebut berpotensi meningkatkan risiko perang dagangan di pelbagai rantau.

Dalam panggilan telefon dengan Trump, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese membentangkan kes Australia untuk mendapatkan pengecualian.

Selepas pada mulanya memberitahu wartawan bahawa tiada pengecualian akan diberikan, Trump kemudian mengakui bahawa Australia adalah salah satu daripada beberapa negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.

"Kami mempunyai lebihan dengan Australia. Salah satu daripada sedikit negara yang ada lebihan dengan kami.

"Sebabnya, mereka membeli banyak kapal terbang. Mereka agak jauh dan memerlukan banyak kapal terbang," kata Trump.

"Saya memberitahunya bahawa ini adalah sesuatu yang akan kami pertimbangkan dengan serius," kata presiden dari Parti Republikan itu kepada wartawan, sambil memuji Albanese sebagai seorang "lelaki yang budiman".

Sebagai sekutu keselamatan utama AS di Indo-Pasifik, Australia bukanlah pengeksport keluli utama dunia, tetapi ia merupakan pengeksport terbesar bahan mentah utama untuk pembuatan keluli, iaitu bijih besi.

Albanese menyatakan bahawa Australia hanya menyumbang 1% daripada import keluli AS dan 2% daripada import aluminium negara itu.

"Kami bersetuju dengan kenyataan rasmi yang boleh diumumkan secara terbuka, iaitu Presiden AS bersetuju bahawa pengecualian sedang dipertimbangkan," kata Albanese kepada wartawan pada Selasa.

"Tetapi kami akan terus berunding secara konstruktif... ia adalah perbincangan yang sangat baik dan mesra dengan Presiden Trump," tambahnya.

Semasa penggal pertamanya sebagai Presiden AS, Trump telah mengecualikan Australia daripada tarif keluli dan aluminium AS.

Menteri Perdagangan Australia pada Isnin berkata eksport tersebut telah mewujudkan "pekerjaan bergaji tinggi di Amerika" dan memainkan peranan penting dalam kepentingan pertahanan bersama.

Keluli yang diproses di Australia dibeli oleh pembina kapal tentera terbesar AS.

Kerjasama berkenaan penting ketika Australia, Britain, dan AS, rakan dalam pakatan pertahanan AUKUS berusaha untuk menyepadukan rantaian bekalan pertahanan mereka, menurut kerajaan Australia tahun lalu.

Albanese tetap yakin bahawa perjanjian dengan Trump boleh dicapai.

"Jika kita lihat apa yang telah kita capai setakat ini, ia adalah permulaan yang sangat baik dalam hubungan ini," katanya.

Menteri Luar Negeri Penny Wong menghadiri majlis perasmian Trump, manakala Menteri Pertahanan Richard Marles bertemu Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, di Washington minggu lalu pada mesyuarat luar negara pertama Hegseth selepas disahkan memegang jawatan itu.

Majlis Aluminium Australia berkata ia masih mengkaji kesan tarif yang berpotensi dikenakan ke atas perdagangan aluminium negara itu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD