fb fb fb fb fb

Elon Musk tawar AS$97.4 bilion untuk kawalan OpenAI

Foto Reuters

NEW YORK, 11 Februari – Sebuah konsortium pelabur yang diketuai oleh bilionair Elon Musk telah menawarkan AS$97.4 bilion bagi mengambil alih badan bukan untung yang mengawal syarikat kecerdasan buatan (AI), OpenAI.

Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin, tawaran itu semakin meruncingkan pertikaian berpanjangan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman dan Musk mengenai hala tuju syarikat yang menjadi pemacu utama perkembangan teknologi AI generatif.

Peguam Musk, Marc Toberoff, telah mengemukakan tawaran tersebut kepada lembaga pengarah OpenAI pada Isnin.

"Sudah tiba masanya untuk OpenAI kembali kepada matlamat asalnya sebagai organisasi sumber terbuka yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan manfaat kepada dunia," kata Musk dalam satu kenyataan menerusi Toberoff, seperti dipetik oleh WSJ. "Kami akan memastikan perkara itu berlaku."

Bagaimanapun, OpenAI, Musk, Toberoff dan Microsoft yang merupakan penyokong utama OpenAI, masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters.

Menurut WSJ, tawaran itu turut disokong oleh syarikat AI milik Musk, xAI, yang dijangka bergabung dengan OpenAI sekiranya perjanjian tersebut berjaya dimeterai.

Musk sebelum ini merupakan pengasas bersama OpenAI bersama Altman pada 2015, namun beliau meninggalkan syarikat itu sebelum ia berkembang pesat.

Pada 2023, Musk menubuhkan syarikat AI pesaing, xAI.

Ketika ini, OpenAI sedang dalam proses peralihan daripada sebuah organisasi bukan untung kepada entiti berorientasikan keuntungan bagi mendapatkan modal yang diperlukan untuk membangunkan model AI terbaik.

Tahun lalu, Musk memfailkan saman terhadap OpenAI dan Altman, mendakwa bahawa OpenAI pada asalnya diasaskan sebagai organisasi bukan untung yang membangunkan AI demi kepentingan manusia, namun kini lebih menumpukan kepada keuntungan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN