fb fb fb fb fb

Tarif 100 peratus ke atas Rusia jika tiada perjanjian dengan Ukraine - Presiden Trump

Presiden Trump sahkan sistem peluru berpandu Patriot akan dihantar ke Ukraine / foto AFP

WASHINGTON, 15 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengugut mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas Rusia sekiranya tiada perjanjian dicapai untuk menamatkan perang di Ukraine dalam tempoh 50 hari, lapor Anadolu.

Dalam pertemuan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte di Pejabat Oval, Presiden Trump meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Rusia dan kekecewaannya terhadap Presiden Vladimir Putin.

“Saya jangka perjanjian akan dicapai dua bulan lalu, tetapi nampaknya masih belum menjadi kenyataan,” katanya.

“Jadi berdasarkan itu, kami akan melaksanakan "secondary tariff". Jika tiada perjanjian dalam 50 hari, ia mudah saja, tarif itu akan dikenakan sebanyak 100 peratus.”

Presiden Trump turut mengumumkan bahawa AS akan membekalkan senjata kepada Ukraine melalui NATO, namun kos sepenuhnya akan ditanggung oleh sekutu Eropah.

“Kami capai satu persetujuan hari ini... Kami akan hantar senjata kepada mereka dan mereka akan membayarnya. Amerika Syarikat tidak akan membuat sebarang bayaran.

“AS telah membuat keputusan untuk membekalkan Ukraine dengan keperluan penting melalui NATO, dan Eropah akan menanggung 100 peratus kosnya," kata Rutte mengesahkan perkara itu.

Presiden Trump turut mengesahkan bahawa sistem peluru berpandu Patriot buatan AS akan dihantar ke Ukraine dalam masa terdekat.

“Beberapa negara yang memiliki sistem Patriot akan menggantikannya dan kami akan menghantar Patriot kami sebagai pengganti. Mark Rutte akan menyelaras perkara ini dengan NATO.”

“Kami ada satu negara yang memiliki 17 sistem Patriot dan bersedia untuk dihantar,” katanya tanpa mendedahkan negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, utusan khas Presiden Trump ke Ukraine dan Rusia, Keith Kellogg mengadakan pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Kyiv pada Isnin.

Mereka membincangkan isu pengukuhan pertahanan udara, pengeluaran senjata bersama dan sekatan ke atas Rusia. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN