(Helikopter memadam kebakaran di depoh bahan api di Matanzas, Cuba semalam/FOTO AFP)
MATANZAS, 9 Ogos - Tangki ketiga telah disambar api dan runtuh akibat tumpahan minyak dari tangki kedua yang terbakar dua hari sebelum itu.
Kejadian itu merupakan kemalangan terbesar industri minyak sejak berdekad di negara tersebut.
Cuba telah mencapai kemajuan dalam memadamkan api yang marak pada hujung minggu selepas mendapat bantuan daripada Mexico dan Venezuela.
Namun pada Ahad, api mula merebak dari tangki kedua, yang runtuh.
Tangki keempat kini juga terancam namun belum terbakar.
Seorang anggota bomba terbunuh dan 14 lagi masih hilang.
Matanza yang terletak lebih kurang 160 kilometer dari Havana merupakan pelabuhan terbesar Cuba yang menerima import minyak mentah dan bahan api.
(14 anggota bomba dilaporkan masih hilang ketika memadam kebakaran di depoh bahan api/FOTO AFP)
Setiap tangki di kemudahan itu mampu menyimpan 300,000 tong dan menyediakan bahan api kepada loji elektrik.
Cuba kini mengalami bekalan elektrik terputus setiap hari dan kekurangan bahan api.
Kehilangan bahan api dan kapasiti penyimpanan berkemungkinan memburukkan lagi keadaan.
Ini mencetuskan bantahan kecil warga tempatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - AFP