LONDON, 4 Disember - Pihak berkuasa United Kingdom (UK) melarang iklan pemasaran makanan manis seperti granola, muffin, kroisan, dan pankek pada waktu siang di siaran televisyen bermula Oktober tahun depan.
Iklan untuk makanan dan minuman yang dianggap "kurang sihat" hanya akan dibenarkan selepas pukul 9 malam.
Langkah itu diambil berikutan peningkatan obesiti kanak-kanak di Britain, yang mana seorang daripada 10 kanak-kanak berusia empat tahun kini dianggap obes.
Selain itu, seorang daripada lima kanak-kanak berusia lima tahun mengalami kerosakan gigi akibat pengambilan gula berlebihan.
"Obesiti meragut peluang terbaik untuk kanak-kanak memulakan hidup mereka, menyebabkan masalah kesihatan sepanjang hayat, dan membebankan NHS dengan kos yang tinggi.
"Kerajaan kini sedang mengambil tindakan untuk menghentikan pemasaran iklan makanan ringan kepada kanak-kanak, di TV dan dalam talian," kata Setiausaha Kesihatan UK, Wes Streeting.
Langkah itu dijangka dapat mencegah 20,000 kes obesiti kanak-kanak setiap tahun.
Sekatan tidak terpakai kepada pilihan lebih sihat seperti oat asli tanpa gula dan yogurt tanpa gula. - AFP