ISTANBUL, 4 Disember - Sekurang-kurangnya 17 orang maut manakala 22 lagi sedang menerima rawatan di hospital akibat terminum alkohol tiruan yang tercemar, lapor media Turkiye hari ini.
Lapan individu yang disyaki membekalkan minuman beralkohol tersebut telah ditahan, menurut agensi berita kerajaan Anadolu.
Minggu lalu, pihak berkuasa mengumumkan rampasan 410 liter etanol dan metanol, serta 165 botol alkohol seludup dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan arak tiruan.
Kes keracunan akibat alkohol tercemar sering berlaku di Turkiye, yang mana penghasilan alkohol secara persendirian meningkat mendadak susulan kenaikan cukai terhadap minuman beralkohol.
Pada akhir tahun 2021, sekurang-kurangnya 25 orang meninggal dunia dalam beberapa hari di pelbagai wilayah, manakala pada tahun sebelumnya sekitar 40 orang maut akibat keracunan alkohol.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kerap mengkritik penggunaan alkohol dan tembakau di negara sekular itu. - AFP