fb fb fb fb fb

Kronologi 24 jam 'drama politik' Korea Selatan selepas isytihar darurat tentera

Penunjuk perasaan berarak menuju Pejabat Presiden di Seoul, Korea Selatan, pada 4 Dis (hari ini), membantah tindakan Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan darurat tentera/Foto AFP

SEOUL, 4 Disember - Korea Selatan melalui hampir 24 jam drama politik selepas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan darurat tentera buat kali pertama dalam lebih empat dekad.

Namun, perintah tersebut ditarik balik selepas ahli parlimen menolaknya melalui undian.

Kini, Yoon berdepan usul pemecatan di parlimen yang dikuasai pembangkang, dengan mogok besar-besaran, dan protes baharu.

Bagaimana ia bermula?

Selama berbulan-bulan, beberapa ahli parlimen pembangkang menuduh Yoon cenderung ke arah pemerintahan autoritarian.

Autoritarian bermaksud corak pemerintahan atau kepimpinan yang menekankan kawalan penuh terhadap negara.

Pada September, seorang ahli parlimen, Kim Min-seok, mendakwa Yoon merancang untuk mengisytiharkan darurat tentera dengan melantik rakan sekolah lamanya dan sekutu rapat ke jawatan keselamatan utama.

Kebanyakan pihak ketika itu menolak dakwaan Kim sebagai fantasi semata-mata.

Selasa, 10:24 malam

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol secara mengejut mengisytiharkan undang-undang tentera dalam siaran langsung

Yoon menyifatkan langkah itu perlu untuk melindungi negara daripada "kuasa komunis" dan menuduh parlimen sebagai "tempat perlindungan penjenayah".

10:40 malam

Ketua pembangkang,  Parti Demokratik (DP) Lee Jae-myung, memanggil anggota parlimen dan rakyat untuk membantah langkah "tidak sah" yang diumumkan oleh Yoon sambil menuju ke Dewan Perhimpunan Kebangsaan.

Rabu, 12:27 pagi

Helikopter membawa pasukan khas bersenjata mendarat di parlimen, memecah tingkap, dan cuba memasuki bangunan.

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar untuk membantah.

1:03 pagi

Parlimen segera bersidang dan meluluskan pembatalan darurat tentera dengan undian 190-0.

Tentera yang dikerah mula menarik diri dari kawasan parlimen.

4:29 pagi

Yoon akhirnya mengumumkan beliau akan menarik balik darurat tentera, selepas menerima tekanan kuat daripada parlimen dan rakyat.

9:00 pagi

Pasaran saham Korea Selatan merudum 2.3 peratus akibat ketidakstabilan politik, memaksa bank pusat mengadakan mesyuarat tergempar.

2:40 petang

Parti pembangkang telah mengemukakan usul untuk memecat Yoon, dengan undian dijangka seawal Jumaat.

Mereka juga memfailkan aduan jenayah terhadap Yoon dan pegawai tertinggi yang terlibat, termasuk menteri pertahanan dan ketua polis.

6:00 petang

Ribuan rakyat berkumpul di Dataran Gwanghwamun menuntut Presiden Yoon meletak jawatan.

6:20 petang

Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun memohon maaf dan menawarkan peletakan jawatan atas kekacauan yang berlaku.

Presiden Yoon membatalkan semua penampilan awamnya dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan baharu.

8:00 malam

Protes semakin memuncak dengan ribuan orang menuju ke pejabat presiden untuk menuntut peletakan jawatannya.

Yoon masih belum muncul di khalayak sejak pengumuman awalnya. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN