fb fb fb fb fb

Tanah runtuh Papua New Guinea, misi mencari dan menyelamat mula dilakukan

Penduduk sekitar berpindah selepas kejadian tanah runtuh di Wilayah Enga, Papua New Guinea/ REUTERS

PORT MORESBY, 25 Mei- Pasukan penyelamat tiba di tapak tanah runtuh besar di tanah tinggi terpencil Papua New Guinea pada Sabtu untuk membantu penduduk kampung mencari puluhan orang yang dikhuatiri maut di bawah timbunan runtuhan dan lumpur.

Tanah runtuh itu dilaporkan melanda Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby pada awal pagi Jumaat,

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpangkalan di Papua New Guinea memberitahu AFP pada pagi Sabtu
sekurang-kurangnya empat mayat telah ditemui namun terdapat kebimbangan ratusan lagi dikhuatiri terkorban.

"Walaupun kawasan itu tidak padat penduduk, kebimbangan kami adalah bahawa jumlah kematian mungkin agak tinggi," kata agensi kemanusiaan CARE.

Pasukan medik, tentera dan polis bertindak pantas telah tiba di tanah runtuh pada waktu pagi dengan melalui perjalanan yang rumit akibat kerosakan pada jalan utama.

Palang Merah pada Jumaat menganggarkan bahawa seramai 500 orang berisiko cedera atau mati.

Seorang ketua masyarakat di tempat kejadian, Steven Kandai, memberitahu AFP bahawa ramai penduduk tidak mempunyai masa untuk melarikan diri.

"Tiba-tiba berlaku tanah runtuh yang besar. Gunung itu runtuh secara tiba-tiba semasa orang ramai masih tidur," katanya sambil menambah kediaman mereka "terkubur sepenuhnya."

Tanah runtuh itu meninggalkan batu-batu besar sebesar kereta dengan pokok-pokok tumbang ke arah lantai lembah.

Sisa-sisa tempat perlindungan timah beralun dan sebuah bas mini yang terbalik boleh dilihat di kaki runtuhan.

Terletak di selatan khatulistiwa, kawasan itu dilanda hujan lebat yang kerap.

Pada Mac, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh akibat tanah runtuh di wilayah berdekatan.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI