fb fb fb fb fb

Taiwan terima 38 kereta kebal Abrams dari AS

FOTO HIASAN

TAIPEI, 16 Disember- Taiwan telah menerima 38 kereta kebal Abrams dari Amerika Syarikat, kata kementerian pertahanan pada Isnin, sebagai usaha untuk meningkatkan keupayaan ketenteraannya menghadapi kemungkinan serangan dari China.

Washington telah lama menjadi sekutu paling penting dan pembekal senjata terbesar Taipei, yang sering menimbulkan kemarahan Beijing kerana menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Kereta kebal M1A2 kumpulan pertama daripada 108 unit yang dipesan pada 2019 tiba di Taiwan lewat Ahad dan telah dipindahkan ke pangkalan latihan tentera di Hsinchu, selatan ibu kota Taipei, menurut kementerian pertahanan.

Kereta kebal Abrams, yang merupakan antara kereta kebal terberat di dunia, adalah tulang belakang angkatan tentera AS. M1A2 ini merupakan kereta kebal baharu pertama yang dihantar ke Taiwan dalam tempoh 30 tahun, menurut Central News Agency yang separa rasmi.

Pasukan kereta kebal Taiwan kini terdiri daripada kira-kira 1,000 unit CM-11 Brave Tiger buatan tempatan dan M60A3 buatan AS, teknologi yang semakin usang.

Kerajaan Taiwan sebelum ini memperuntukkan lebih daripada AS$1.2 bilion untuk pembelian 108 unit Abrams ini. Baki pesanan dijangka akan dihantar pada tahun 2025 dan 2026, menurut pegawai tentera.

Taiwan sentiasa menghadapi ancaman serangan dari China, yang tidak pernah menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai pulau yang memerintah sendiri itu.

Walaupun Taiwan mempunyai industri pertahanan tempatan dan sedang menaik taraf peralatannya, ia sangat bergantung kepada penjualan senjata dari AS untuk meningkatkan keupayaan keselamatannya.

Bagaimanapun, penghantaran senjata ke Taiwan telah tertangguh akibat gangguan rantaian bekalan semasa pandemik COVID-19 serta penghantaran senjata AS ke Ukraine dan Israel. Kini, jumlah tertunggak tersebut melebihi AS$21 bilion, menurut badan pemikir Cato Institute di Washington.

Taiwan menyedari ia akan jauh ketinggalan dari segi jumlah anggota dan kekuatan persenjataan sekiranya berperang dengan China. Oleh itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah meningkatkan perbelanjaan untuk pertahanannya.

Taipei memperuntukkan rekod AS$19 bilion untuk belanjawan ketenteraan tahun 2024 dan dijangka mencatat jumlah yang lebih tinggi pada tahun berikutnya, sejajar dengan pendekatan pertahanan yang lebih tangkas.

China juga telah meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerap mengerahkan jet pejuang dan kapal perang di sekitar pulau itu.

Minggu lalu, pihak berkuasa Taiwan melaporkan bahawa China telah menjalankan latihan maritim terbesar dalam beberapa tahun, dengan sekitar 90 kapal dikerahkan dari kawasan selatan Jepun hingga ke Laut China Selatan.

Kapal-kapal tersebut mensimulasikan serangan terhadap kapal asing dan berlatih menyekat laluan laut, kata seorang pegawai keselamatan Taiwan sebelum ini.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE