fb fb fb fb fb

Remaja 16 tahun tembak mati empat ahli keluarga termasuk ibu ayah sendiri

FOTO HIASAN

LOS ANGELES, 16 Disember- Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di negeri New Mexico, Amerika Syarikat, telah ditahan pada Ahad selepas didakwa melakukan pembunuhan kejam terhadap ahli keluarganya, menurut polis dan pegawai.

"Pejabat Sheriff Valencia County menerima panggilan kecemasan 911 pada awal pagi Sabtu daripada seorang remaja lelaki yang memberitahu bahawa dia telah membunuh keluarganya," menurut kenyataan Polis Negeri New Mexico.

Apabila timbalan sheriff tiba di rumah tersebut yang terletak di bandar Belen, remaja lelaki itu "keluar dari rumah dengan tangan diangkat dan dalam keadaan sangat mabuk," menurut kenyataan itu.

"Timbalan sheriff memasuki rumah dan menemui Leonardo Leyva, 42 tahun, Adriana Bencomo, 35 tahun, Adrian Leyva, 16 tahun, dan Alexander Leyva, 14 tahun, semuanya mati akibat kecederaan tembakan. Sebuah pistol dijumpai di atas meja dapur," tambah polis negeri itu.

Seorang pegawai Belen memberitahu AFP bahawa mangsa adalah ibu bapa dan dua adik-beradik suspek.

Suspek remaja itu telah didakwa atas tuduhan empat kes pembunuhan darjah pertama, menurut polis.

Kejadian tembakan maut adalah perkara biasa di Amerika Syarikat, di mana undang-undang senjata api agak longgar dan jumlah senjata melebihi bilangan penduduk.

Tahun ini, sekurang-kurangnya 484 kejadian tembakan besar telah berlaku di seluruh Amerika Syarikat, yang didefinisikan sebagai insiden tembakan yang melibatkan sekurang-kurangnya empat mangsa, sama ada mati atau cedera, menurut Gun Violence Archive.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE