(Su Tseng-chang ketika bercakap kepada pemberita di Taipei/Reuters)
TAIPEI, 2 September- Taiwan menembak jatuh sebuah dron dipercayai milik China yang memasuki ruang udaranya.
Dron awam itu dipercayai diterbangkan dari bandar Xiamen berhampiran sempadan, ke kepulauan Kinmen.
Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang berkata ia merupakan tindakan paling berhemah diambil Taipei setelah amaran berkali-kali dikeluarkan sebelum ini.
"Kali ini, tentera negara terpaksa menembak jatuh dron berkenaan dalam tindakan bertahan, selepas amaran dan permintaan supaya dron itu beredar tidak diendahkan.
"Ini adalah tindakan yang paling sesuai selepas bersabar dan berulang kali memberi amaran.
"Saya percaya bahawa rakyat Taiwan dan semua negara demokrasi di seluruh dunia akan menganggap ini sesuai," katanya kepada pemberita, di sini pada Jumaat.
(Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang/Reuters)
Tegas beliau, Beijing perlu segera menghentikan latihan-latihan ketenteraan yang sering diadakan ketika ini.
Dua video mengenai insiden itu tular di media sosial, salah satunya memaparkan tentera Taiwan melempar batu ke arah dron yang dipercayai datang dari China.
Tentera China telah berlatih sejak awal bulan lalu, berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei yang menimbulkan kemarahan Beijing.-REUTERS