fb fb fb fb fb

Syria yakin Trump akan bawa 'kemananan' ke Asia Barat

Ketua kerajaan sementara Syria, Ahmed al-Sharaa

DAMSYIK, 21 Januari- Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, mengucapkan tahniah kepada Presiden AS Donald Trump atas pelantikannya pada Isnin, dengan menyatakan bahawa pemimpin Amerika itu akan 'membawa keamanan ke Asia Barat.

“Kami yakin bahawa beliau adalah pemimpin yang dapat membawa keamanan ke Asia Barat dan mengembalikan kestabilan di rantau ini,” kata pentadbiran Sharaa dalam satu kenyataan.

“Kami menantikan untuk memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara kita berdasarkan dialog dan pemahaman.”

Kumpulan pimpinan Sharaa, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), adalah yang mengetuai serangan pemberontak yang menggulingkan Bashar al-Assad pada 8 Disember lalu.

Pemimpin baharu Syria sedang mencari sokongan kewangan untuk membantu membina semula negara selepas lebih 13 tahun konflik.

Kerajaan sementara Sharaa telah berusaha untuk memohon agar sekatan yang dikenakan oleh negara-negara Barat terhadap pentadbiran Assad ditarik balik.

Namun, beberapa kerajaan masih berhati-hati, ingin melihat bagaimana pihak berkuasa baharu ini melaksanakan kuasa mereka.

Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, serta negara-negara jiran Syria, telah menekankan keperluan bagi pemerintah baharu itu untuk memerangi keganasan dan ekstremisme.

Disokong oleh Washington, Pasukan Demokrasi Syria (SDF) memimpin kempen ketenteraan yang menggulingkan kumpulan pelampau IS dari Syria pada tahun 2019 dan mengawal puluhan penjara serta kem di mana ribuan suspek militan dan keluarga mereka ditahan.

AS masih mengekalkan tentera di utara Syria sebagai sebahagian daripada koalisi antijihadis.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE