fb fb fb fb fb

Syria umum gencatan senjata serta-merta

Suku Badwi berkawal di tepi jalan sambil memegang senjata ketika wilayah Sweida dilanda hampir seminggu keganasan susulan pertempuran antara suku Badwi dan militan Druze, di Idlib, Syria/Foto REUTERS

DAMSYIK, 19 Julai – Presiden Syria hari ini mengumumkan gencatan senjata menyeluruh dan serta-merta di seluruh negara bagi mengelakkan pertumpahan darah serta menjaga keselamatan rakyat dan kedaulatan wilayah negara itu.

PresidenSyria, Ahmed al-Sharaa, menegaskan langkah itu diambil atas dasar tanggungjawab nasional dan kemanusiaan bagi menstabilkan keadaan semasa.

“Kami menyeru semua pihak tanpa pengecualian agar menghentikan operasi ketenteraan serta-merta demi melindungi orang awam dan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa keselamatan juga dilaporkan telah mula dikerahkan ke beberapa kawasan untuk memastikan pelaksanaan gencatan senjata, mengekalkan ketenteraman awam serta melindungi harta benda penduduk.

Kenyataan itu turut memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran gencatan senjata akan dianggap sebagai pencabulan kedaulatan negara dan akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut perlembagaan.

“Semoga Allah melindungi Syria dan rakyatnya,” menurut kenyataan itu lagi.

Mac lalu, pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum minoriti Alawite turut memburukkan lagi ketegangan.

Isnin lalu, tentera kerajaan Syria dihantar ke Sweida untuk menghentikan pertempuran antara militan Druze dan kumpulan bersenjata Bedouin, namun akhirnya turut bertempur dengan militan Druze.

Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria menyatakan 169 orang terbunuh dalam keganasan minggu ini, manakala sumber keselamatan meletakkan angka korban pada 300. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN