fb fb fb fb fb

Syiling rosakkan batu Giant’s Causeway

Syiling berkarat mencacatkan pemandangan batu Giant's Causeway/Foto AFP

BUSHMILLS, 13 Julai - Giant's Causeway atau Tambak Gergasi di Ireland Utara menarik hampir sejuta pelawat setiap tahun, namun amalan pelancong menyelitkan syiling kecil ke celahan batu bagi membawa "tuah atau cinta" kini didapati merosakkan formasi batu semula jadi yang terkenal di dunia itu.

Pihak berkuasa kini menyeru pengunjung menyimpan syiling mereka demi memelihara landskap ikonik tersebut.

Formasi yang mengandungi sekitar 40,000 tiang basalt itu merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama Ireland Utara. Ahli geologi percaya ia terbentuk hasil letusan lava basalt kira-kira 60 juta tahun lalu, manakala legenda tempatan mendakwa ia dicipta oleh gergasi Ireland, Finn McCool.

Menurut Pegawai Pemuliharaan, Cliff Henry, sejak beberapa dekad lalu, ribuan syiling telah ditekan masuk ke dalam celahan batu, mengakibatkan syiling tersebut cepat berkarat dan mengembang yang mencacatkan pemandangan.

“Kami terima banyak syiling dari hampir setiap mata wang dunia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada projek pemuliharaan bernilai £30,000 (RM180,000), tukang batu telah berjaya mengeluarkan syiling dari 10 lokasi uji kaji tanpa menyebabkan kerosakan lanjut. Usaha ini akan diperluas ke seluruh kawasan. -AFP

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN