fb fb fb fb fb

Spesies marin terancam, suhu laut di Thailand cecah paras tinggi

Spesies marin terancam, suhu laut di Thailand cecah paras tinggi

TRAT, 23 Mei - Hidupan akuatik seperti terumbu karang hingga ikan di pantai Teluk Timur Thailand berisiko terkesan dengan suhu permukaan laut yang mencecah paras tertinggi pada bulan ini.

Menurut saintis, batu karang yang dahulunya kelihatan berwarna-warni pada jarak lima meter dari bawah air, kini bertukar menjadi putih.

Fenomena itu dikenali sebagai pelunturan karang, ia menandakan kesihatan kehidupan akuatik itu semakin merosot ekoran suhu air yang lebih tinggi.

Awal bulan ini, suhu permukaan laut di Teluk Timur Thailand mencecah 32.73 darjah Celcius, manakala bacaan dalam air sedikit lebih panas.

"Saya tidak menemui satu karang yang sihat.

"Hampir semua spesies kelihatan luntur, hanya sedikit sahaja tidak terjejas," kata ahli biologi marin, Lalita Putchim dari Jabatan Sumber Laut dan Pantai (DMCR).

Kepulauan Trat adalah rumah kepada lebih 66 pulau, dengan lebih 28.4 kilometer persegi (2,841 hektar) terumbu karang yang mana Lalita mendapati sehingga 30 peratus daripada hidupan karang mengalami pelunturan dan lima peratus daripadanya sudah pun mati.

"Sekiranya suhu air tidak sejuk, lebih banyak batu karang akan mati.

"Ia disebabkan kepanasan global yang tinggi bukan sekadar pemanasan global," katanya. - REUTERS

aidan