fb fb fb fb fb

SpaceX sedia untuk lancarkan roket terbesar 'Starship'

(FOTO AFP)

STARBASE, 17 April - SpaceX sedang mengira detik untuk penerbangan ujian pertama Starship pada Isnin.

Starship merupakan roket paling berkuasa pernah dibina dan direka untuk menghantar angkasawan ke Bulan dan Marikh.

Roket gergasi itu dijadual akan dilancarkan dari Starbase, pelabuhan angkasa SpaceX di Boca Chica, Texas, pada pukul 8:00 pagi waktu tempatan.

Pengasas SpaceX, jutawan Elon Musk berkata terdapat kemungkinan yang berbeza jika pelancaran yang dijadual pada Isnin ditangguh dan dibawa ke hujung minggu.

(FOTO AFP)

"Ini adalah penerbangan yang sangat berisiko. Ia adalah pelancaran pertama roket gergasi yang sangat rumit," kata Musk dalam acara langsung di Twitter Spaces.

Tambah Musk, terdapat sejuta cara roket ini boleh gagal.

"Kami akan berhati-hati dan jika kami melihat apa-apa yang menimbulkan kebimbangan, kami akan menangguhkan," kata Musk.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat, NASA telah memilih kapal angkasa Starship untuk mengangkut angkasawan ke Bulan pada penghujung 2025, misi yang dikenali sebagai Artemis III, pertama kali selepas program Apollo berakhir pada 1972.

Starship terdiri daripada kapal angkasa setinggi 50 meter, direka untuk membawa krew dan kargo yang terletak di atas roket penggalak Super Heavy peringkat pertama setinggi 230 kaki.-AFP

Media Baharu