BANGKOK, 22 Mei - Mahkamah Pentadbiran Tertinggi Thailand pada Khamis mengarahkan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra membayar ganti rugi sebanyak 10.03 bilion baht (US$306 juta) berhubung skim jaminan harga beras yang dilaksanakan semasa pentadbirannya lebih sedekad lalu, lapor Xinhua.
Keputusan itu menyebelahi rayuan Kementerian Kewangan terhadap keputusan mahkamah peringkat lebih rendah, namun jumlah pampasan dikurangkan daripada tuntutan asal sebanyak 35.7 bilion baht (kira-kira US$1.08 bilion), menurut laporan media tempatan.
Mahkamah memutuskan bahawa Yingluck bertanggungjawab terhadap kerugian kewangan atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri dan pengerusi Jawatankuasa Dasar Beras Kebangsaan, kerana didapati cuai dalam mencegah penyelewengan dalam pelaksanaan program berkenaan.
Skim tersebut, yang bertujuan membantu petani dengan membeli beras pada harga melebihi pasaran, didapati menyebabkan gangguan besar kepada pasaran serta kerugian kewangan yang ketara.
Bekas perdana menteri itu telah melarikan diri dari Thailand pada 2017 sebelum perbicaraan mahkamah berhubung kes lain yang juga berkaitan skim beras tersebut. Beliau kemudiannya didapati bersalah atas kecuaian jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun tanpa kehadirannya.
Yingluck berkata perintah untuk membayar 10 bilion baht itu adalah keterlaluan.
"Walaupun saya membayarnya sepanjang hidup saya, ia tidak akan mencukupi," katanya di media sosial.
"Saya akan terus menuntut dan memperjuangkan keadilan," katanya lagi. . - Reuters