fb fb fb fb fb

Sistem agihan bantuan GHF kelam kabut, 31 maut ditembak tentera Israel

FOTO AFP

RAFAH, 2 Jun- Sebuah NGO perubatan, Doctors Without Borders (MSF), memaklumkan pihaknya merawat ramai mangsa yang ditembak dari pelbagai arah ketika pengagihan bantuan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah organisasi baharu yang disokong oleh Amerika Syarikat di Gaza.

MSF mendakwa sistem pengagihan bantuan oleh GHF menyebabkan kekacauan di Rafah sehingga 31 rakyat Palestin terkorban akibat tembakan tentera Israel.

Pihak berkuasa Gaza mengesahkan kejadian tersebut, manakala tentera Israel dan GHF menafikan sebarang insiden berlaku. Namun, MSF dan petugas hospital melaporkan ramai mangsa yang ditembak sedang dirawat di Hospital Nasser, Khan Younis.

Menurut MSF, mangsa ditembak dari udara dan darat oleh dron, helikopter, kereta kebal serta tentera Israel.

Penyelaras kecemasan MSF, Claire Manera, mengkritik sistem pengagihan bantuan GHF sebagai berbahaya dan tidak berkesan, yang menyebabkan kematian dan kecederaan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Seorang mangsa cedera, Mansour Sami Abdi, menceritakan kekecohan semasa orang ramai berebut hanya lima palet makanan.

“Mereka menyuruh kami mengambil makanan, kemudian tembakan datang dari semua arah. Ini bukan bantuan, ini penipuan,” katanya.

Tentera Israel pula berkata siasatan awal mendapati tenteranya tidak menembak orang awam yang berada berhampiran atau dalam kawasan pengagihan bantuan kemanusiaan.

Jurucakap GHF menuduh Hamas menyebarkan laporan palsu berkenaan insiden tersebut.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE