fb fb fb fb fb

Siri dokumentari 'Guardians' angkat kisah renjer

Putera Britain Putera William/ REUTERS

LONDON, 23 Mei- Sebuah siri dokumentari baharu, Guardians yang mengangkat usaha renjer hidupan liar bakal disiarkan pada Jumaat (23 Mei).

Menurut kenyataan pertubuhan amal pewaris takhta Britain, United for Wildlife yang mengetuai penerbitan projek tersebut memaklumkan, siri enam episod itu akan ditayangkan menerusi saluran YouTube dan media sosial BBC Earth.

Ia merupakan cetusan idea Putera Britain Putera William yang bertujuan mengetengahkan tugas berisiko tinggi renjer dalam melindungi kawasan alam sekitar paling terancam di dunia.

"Kenyataannya ialah melindungi alam semula jadi yang merupakan salah satu pekerjaan paling berbahaya di dunia. Kita perlu memahami dan menghargai para ‘Penjaga Alam’, serta kerja kritikal yang mereka lakukan.

"Setiap hari, mereka mempertaruhkan nyawa sebagai benteng pertahanan utama alam sekitar, melindungi spesies terancam daripada pemburu haram, menyokong keseimbangan hidup antara manusia dan haiwan, serta memerangi kehilangan habitat," menurut kenyataan itu.

Tahun lalu, United for Wildlife memperkenalkan inisiatif Nature Protectors, satu pakej bantuan selama lima tahun yang menyasarkan penyediaan sokongan kepada 10,000 renjer di seluruh Afrika.

Putera William juga lantang bersuara menentang perdagangan haram hidupan liar yang menurut United for Wildlife, dianggarkan bernilai sehingga AS$20 bilion setiap tahun dan mempunyai kaitan dengan jenayah ganas, rasuah dan aktiviti penyeludupan.

Pada tahun 2022, baginda turut merakamkan penghormatan kepada Anton Mzimba, seorang renjer yang ditembak mati di sebuah kawasan pemuliharaan di Afrika Selatan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI