fb fb fb fb fb

Arab Saudi sediakan unit dialisis di Madinah untuk jemaah sakit buah pinggang

Foto fail Bernama

MADINAH, 22 Mei - Kluster Kesihatan Madinah di Arab Saudi menyediakan unit khas untuk rawatan dialisis di Pusat Buah Pinggang King Fahad (KFKC) bagi memberikan rawatan perubatan berkualiti tinggi kepada jemaah haji yang menghidap penyakit buah pinggang.

Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), inisiatif ini bertujuan menyokong keperluan kesihatan  jemaah sambil mengambil kira pergerakan dan jadual ibadah mereka sepanjang musim haji.

Kemudahan ini dilengkapi dengan teknologi perubatan canggih dan mempunyai 13 mesin dialisis yang mampu menyediakan lebih daripada 26 sesi rawatan setiap hari.

Pasukan perubatan pakar turut ditempatkan untuk memastikan tahap keselamatan, kecekapan dan penjagaan pesakit berada pada piawaian tertinggi.

Kluster Kesihatan turut berkoordinasi dengan misi perubatan yang mengiringi kempen haji, menerima laporan perubatan lebih awal untuk menilai keadaan kesihatan jemaah yang bakal tiba.

Langkah ini membolehkan sesi dialisis dijadualkan sebaik sahaja jemaah tiba di Madinah, sekali gus mengurangkan masa menunggu dan memudahkan urusan pengangkutan.

Inisiatif ini sebahagian usaha menyeluruh Kerajaan Arab Saudi untuk menyediakan perkhidmatan perubatan bersepadu, bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah mereka dalam keadaan sihat dan selesa. - Bernama 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN