fb fb fb fb fb

Singapura rampas lebih RM20.8 bilion 'wang kotor' sejak 2019

Singapura telah merampas S$6 bilion (kira-kira RM20.8 bilion) yang dikaitkan dengan jenayah dan pengubahan wang haram sejak 2019 / Foto Reuters

SINGAPURA, 26 Jun - Singapura telah merampas S$6 bilion (kira-kira RM20.8 bilion) yang dikaitkan dengan jenayah dan pengubahan wang haram sejak 2019, selepas skandal wang kotor besar-besaran mencemarkan reputasi bersihnya tahun lalu.

Singapura melakukan beberapa serbuan tahun lepas dalam kes pengubahan wang haram kira-kira S$3 bilion (RM10.4 bilion), salah satu yang terbesar di dunia, yang melibatkan rampasan harta benda, kereta dan barangan mewah serta penahanan beberapa warga asing.

"Sebagai hab kewangan dan perniagaan antarabangsa, kami menyedari bahawa kami menghadapi risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang lebih besar," kata Perdana Menteri, Lawrence Wong.

"Tetapi kami bertekad untuk melakukan apa yang perlu untuk bertindak balas terhadap risiko ini dan menjaga reputasi Singapura sebagai pusat kewangan yang dipercayai," katanya.

Menerusi laporan yang dikeluarkan sebahagian daripada usaha negara Asia Tenggara itu untuk menghentikan pengaliran wang jenayah, menyatakan sejumlah besar kes di Singapura membabitkan sindiket jenayah asing yang menggunakan kaedah yang canggih.

Daripada S$6 bilion yang dirampas, kira-kira S$416 (RM1.4 bilion) telah dipulangkan kepada mangsa dan S$1 bilion (kira-kira RM3.5 bilion) dilucutkan hak kepada negeri itu, kata laporan itu.

Laporan turut menyebut bahawa penyiasatan atau prosiding mahkamah sedang berjalan untuk sebahagian besar wang yang tinggal.

Minggu lalu, pihak berkuasa kewangan berkata sektor perbankan, termasuk pengurusan kekayaan, "dinilai untuk menimbulkan risiko pengubahan wang haram yang paling tinggi kepada Singapura".

Tambah pihak berkuasa itu bahawa bank "lebih mudah dieksploitasi oleh penjenayah kerana peranan mereka dalam memudahkan jumlah urus niaga yang besar dalam sistem kewangan dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan risiko pengubahan wang haram yang lebih tinggi".-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN