fb fb fb fb fb

Singapura penjarakan defendan kedua kes ubah wang haram lebih RM10 bilion

Foto Hiasan/ REUTERS

SINGAPURA, 4 April- Mahkamah Singapura hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap defendan kedua dalam kes pengubahan wang haram terbesar di republik itu, lapor The Straits Times, kes yang menyaksikan rampasan atau pembekuan aset bernilai AS$2.2 bilion (RM10.43 bilion).

Defendan Su Haijin mengaku bersalah atas satu pertuduhan menentang penahanan dan dua pertuduhan pengubahan wang haram, kata laporan itu, dan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.

Su, warga Cyprus, adalah seorang daripada 10 warga asing yang ditahan di Singapura pada Ogos tahun lalu dalam serbuan serentak.

Aset yang dirampas atau dibekukan termasuk kereta, hartanah mewah, wang tunai dan barang kemas.

Su telah menghadapi 14 pertuduhan termasuk memiliki kira-kira S$2.4 juta (AS$1.78 juta) yang disyaki diperoleh daripada perjudian haram, dua pertuduhan menentang penahanan dan tiga pertuduhan bersubahat menggunakan penyata kewangan palsu.

Menurut laporan itu pertuduhan itu akan diambil kira untuk menjatuhkan hukuman.

Su melompat dari balkoni tingkat dua sebuah banglo untuk cuba mengelak daripada ditahan, kata polis pada Ogos tahun lalu.

Sabitannya susulan hukuman terhadap Su Wenqiang dari Kemboja, yang dijatuhi hukuman penjara 13 bulan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram pada Selasa.

Kes mahkamah terhadap defendan lain sedang berjalan.

Siasatan itu mendorong pihak berkuasa untuk menubuhkan panel antara kementerian bagi mengkaji langkah pencegahan pengubahan wang haram dan memeriksa institusi kewangan yang disyaki terlibat.

Agensi kerajaan juga sedang mengkaji semula insentif cukai untuk pejabat keluarga dan melihat sama ada aset bernilai tinggi seperti kereta mewah dan beg harus tertakluk kepada peraturan.-REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI