AMSTERDAM, 13 Disember - Siasatan diketuai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung tuduhan salah laku seksual Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan telah selesai, lapor Agensi Berita Jerman.
Pengumuman itu dibuat oleh Kepresidenan Perhimpunan Negara-Negara Pihak mahkamah berkenaan.
Tiada butiran penemuan didedahkan.Laporan tersebut segera dihantar kepada panel pakar kehakiman, menurut satu kenyataan, yang menambah keputusan sama ada tindakan disiplin akan diambil dijangka dalam tempoh 30 hari.
Khan sedang bercuti dari tugasnya di Mahkamah The Hague sejak Mei lepas, berikutan tuduhan melakukan penderaan seksual terhadap seorang kakitangan berkali-kali sepanjang suatu tempoh.
Beliau menyangkal tuduhan itu sebagai tidak berasas dan telah memohon siasatan bebas.
Tuduhan itu disemak oleh Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB.Khan, yang berasal dari Britain, telah berkhidmat sebagai Ketua Pendakwa Raya ICC sejak 2021.
Mahkamah tersebut mendakwa suspek yang dituduh melakukan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, genosid dan jenayah agresi. Atas permintaan Khan, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Mahkamah itu menerima kritikan hebat, terutamanya dari Amerika Syarikat (AS), berhubung waran tangkap yang dikeluarkan untuk Netanyahu.
AS, Rusia dan Israel bukan negara anggota ICC.-BERNAMA