fb fb fb fb fb

Shanghai pertahan dasar pisahkan kanak-kanak positif COVID-19

SHANGHAI, 5 April- Pegawai kesihatan Shanghai mempertahankan dasar kerajaan memisahkan bayi dan kanak-kanak kecil yang disahkan positif COVID-19 daripada ibu bapa mereka.

Pegawai Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Shanghai, Wu Qianyu berkata, kanak-kanak yang didapati positif berumur kurang daripada tujuh tahun, akan menerima rawatan di pusat kesihatan awam.

"Bagi kanak-kanak lebih berusia atau remaja, kami mengasingkan mereka di kawasan kuarantin berpusat," katanya.

Dasar kerajaan itu bagaimanapun membangkitkan kemarahan penjaga dan ibu bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial.

Kira-kira 25 juta penduduk Shanghai kini masih berada bawah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Kawalan ketat China mewajibkan sesiapa yang didapati positif, walaupun tidak bergejala atau mempunyai jangkitan ringan, perlu diasingkan daripada individu yang tidak dijangkiti.

Sementara itu, video bayi dan kanak-kanak di wad milik kerajaan mula tersebar secara meluas, bagaimanapun kesahihannya masih belum dipastikan.

(Bandar Shanghai lengang susulan perintah kawalan pergerakan/AFP)

Kekecewaan juga semakin memuncak di Shanghai, apabila 9,000 kes baharu dicatatkan selain menjadi pusat penularan di China.

Sebelum ini, kerajaan berjanji tidak akan melaksanakan perintah berkurung di seluruh bandar, sebaliknya hanya menyasarkan kluster dengan penutupan setempat bagi daerah atau kawasan tertentu.

Bagaimanapun, selepas berdepan peningkatan kes sejak beberapa minggu lalu, kerajaan membuat pengakuan bahawa strategi mereka menangani wabak itu tidak berkesan.

Strategi sifar Covid China mendapat tekanan yang melampau apabila virus itu melanda seluruh negara selain turut berdepan penularan wabak lain.

Sehingga Mac lalu, China berjaya mengurangkan jumlah kes harian kepada dua atau tiga angka dengan pelaksanaan perintah sekatan, ujian saringan secara besar-besaran dan sekatan perjalanan.

Semalam, jangkitan di seluruh negara melebihi 13,000 kes selama dua hari berturut-turut, dengan jumlah jangkitan harian mencecah angka yang tinggi sejak pertengahan Februari 2020. - AFP

Media Baharu