fb fb fb fb fb

Serbuk letupan insiden babitkan PM Jepun ditemui di rumah suspek

(FOTO AFP)

TOKYO, 17 April - Serbuk letupan yang dipercayai digunakan ke atas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika acara kempen ditemui di rumah seorang suspek hari ini.

Sepasukan anggota polis menghabiskan lebih lapan jam menggeledah rumah suspek lelaki yang dinamakan sebagai Ryuji Kimura berusia 24 tahun itu.

Pihak polis turut memindahkan penduduk tempatan untuk sementara waktu kerana khuatir ancaman bahan letupan.

Polis Wakayama bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan itu.

Dalam serangan berkenaan, Kishida tidak mengalami sebarang kecederaan apabila bahan letupan dilemparkan ke arahnya di sebuah pelabuhan di Wakayama, barat Jepun, sejurus sebelum beliau menyampaikan ucapan.

Penyiar kebangsaan NHK berkata, serbuk letupan, objek dan alatan seperti paip ditemui di rumah terbabit.

(FOTO AFP)

Penyiasat percaya bahan letupan yang dibaling pada acara itu adalah buatan sendiri dan mereka kini sedang menganalisa telefon serta komputer milik Kimura untuk mendapatkan petunjuk.

Namun, setakat ini suspek enggan memperincikan motif di sebalik serangan itu, sebelum dipindahkan semalam ke pejabat pendakwa raya Wakayama dari balai polis tempatan.

NHK menyiarkan rakaman menunjukkan suspek duduk di tempat duduk belakang kereta polis dan hanya memandang ke hadapan ketika dialihkan.

Serangan itu berlaku kurang setahun selepas pembunuhan bekas perdana menteri Shinzo Abe, yang menyebabkan Jepun trauma dan memaksa keselamatan pegawai awam dirombak.

Ia juga berlaku ketika Menteri Iklim dan Tenaga dari negara Kumpulan Tujuh (G7) bertemu di bandar utara Sapporo dan sehari sebelum Menteri Luar blok itu tiba di bandar peranginan Karuizawa untuk berbincang.

Jurucakap tertinggi kerajaan, Hirokazu Matsuno, semalam berkata agensi penguat kuasa sudah mengarahkan polis di seluruh negara untuk mengukuhkan keselamatan dan menyegerakan pelaksanaannya.

Pegawai diarahkan untuk memperkuatkan rondaan dan pengawalan termasuk keselamatan untuk sidang kemuncak G7 Hiroshima.-AFP

Media Baharu