fb fb fb fb fb

Serangan udara Israel putuskan laluan utama Lubnan-Syria

Kebakaran berlaku di sebuah bangunan yang rosak akibat serangan udara Israel semalaman di kawasan kejiranan Chiah, pinggir selatan Beirut hari ini/AFP

BEIRUT, 4 Oktober- Lubnan memaklumkan serangan udara Israel di sempadan Syria hari ini telah memutuskan jalan antarabangsa utama yang menghubungkan kedua-dua negara.

Lubnan, yang terletak di pesisir pantai dan berkongsi sempadan dengan Israel -- musuh yang sedang berperang dengan Hezbollah -- serta Syria, negara yang menjadi tempat perlindungan bagi puluhan ribu pelarian akibat konflik berpanjangan, terjejas oleh serangan tersebut.

"Jalan utama bagi laluan kemanusiaan ribuan rakyat Lubnan ke Syria kini terputus selepas serangan Israel," kata Menteri Pengangkutan, Ali Hamieh.

Agensi Berita Kebangsaan juga melaporkan bahawa "pesawat musuh menyerang kawasan Masnaa", yang merupakan persimpangan sempadan utama, sekali gus memutuskan laluan tersebut.

Kementerian Kesihatan Lubnan hari ini turut melaporkan serangan Israel pada hari sebelumnya telah mengorbankan 37 orang, lebih seminggu selepas kempen pengeboman yang semakin sengit dilancarkan ke atas negara itu.

"Serangan musuh Israel dalam tempoh 24 jam lalu mengorbankan 37 orang dan mencederakan 151 yang lain," menurutnya. -AFP

SITI AISHAH MD ISA