fb fb fb fb fb

Serangan Rusia ancam keselamatan Laut Hitam

(FOTO AFP)

BUCHAREST, 25 Julai- Presiden Romania, Klaus Iohannis memberi amaran bahawa keselamatan di Laut Hitam berisiko selepas tentera Rusia menyerang infrastruktur pelabuhan Ukraine di sungai Danube.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan Rusia baru-baru ini terhadap infrastruktur awam Ukraine di Danube, sangat dekat dengan Romania,” tulis Presiden Iohannis di Twitter.

"Peningkatan serangan baru-baru ini menimbulkan risiko serius kepada keselamatan di Laut Hitam. Ia juga menjejaskan transit bijirin Ukraine selanjutnya, sekali gus keselamatan makanan global," tambahnya.

Rakaman amatur yang disiarkan di media sosial oleh seorang warga Romania menunjukkan letupan di seberang Danube, ketika dron kelihatan menyerang Pelabuhan Reni.

Pegawai Ukraine melaporkan serangan dron Rusia selama empat jam terhadap infrastruktur pelabuhan di wilayah selatan Odesa.

Reni adalah sebuah bandar pelabuhan Ukraine manakala Danube membentuk sempadan semula jadi dengan Romania, dan juga berhampiran sempadan Moldova.

Rantau delta Danube yang merentangi Romania dan Ukraine, digunakan sebagai laluan eksport untuk bijirin Ukraine.

Di Washington jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Matthew Miller berkata Setiausaha Negara, Antony Blinken membincangkan mengenai letupan itu dengan Menteri Luar Romania, Luminita Odobescu.

"Kami akan mempertahankan setiap inci wilayah NATO. Setiausaha menyatakan dengan jelas dalam panggilannya dengan Menteri Luar Romania hari ini," kata Miller.

"Kami akan terus berunding dengan rakan kongsi kami di rantau ini tentang bagaimana kami boleh mencari kaedah alternatif untuk mengeluarkan bijirin dari Ukraine," ujarnya.

Rusia minggu lalu menarik diri daripada perjanjian penting yang membenarkan pengeksportan selamat bijirin Ukraine melalui Laut Hitam.

Sejak itu Kiev menuduh Rusia menyasarkan bekalan bijirin dan infrastruktur yang penting untuk eksport. -AFP

(Klaus Iohannis bercakap semasa sidang akhbar dengan Canselor Jerman selepas pertemuan dua hala
mereka di Istana Cotroceni/AFP)

Media Baharu