fb fb fb fb fb

Serangan dron Rusia cederakan lapan orang, rosakkan bangunan

Foto Reuters

KIEV, 29 November – Serangan dron Rusia ke atas Ukraine pada malam Khamis mencederakan sekurang-kurangnya lapan orang dan merosakkan beberapa bangunan kediaman di Kiev serta wilayah selatan Odesa.

Tentera udara Ukraine dalam satu kenyataan memaklumkan daripada 132 dron yang dilancarkan Rusia, mereka berjaya menembak jatuh 88 dron.

Bagaimanapun, 41 lagi "hilang", dipercayai akibat peperangan elektronik, manakala satu dron kembali ke wilayah Rusia.

Serangan ini menyusul berikutan peningkatan operasi dron malam oleh Rusia yang turut memperhebat tekanan di barisan hadapan timur.

Pada Selasa, Rusia mencatatkan rekod dengan melancarkan 188 dron, diikuti serangan berskala besar ke atas grid kuasa Ukraine pada Khamis.

Di wilayah Odesa, serangan tersebut menyebabkan kerosakan pada 13 bangunan kediaman dan mencederakan tujuh orang, menurut kenyataan pihak polis.

Di Kiev, serpihan daripada dron yang ditembak jatuh mengenai bangunan di dua daerah, mencederakan seorang individu.

Perkhidmatan kecemasan melaporkan bahawa sebuah klinik pediatrik di daerah Dniprovskyi turut mengalami kerosakan akibat serpihan, manakala seorang pengawal keselamatan yang berada di lokasi dibawa ke hospital.

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko memaklumkan serpihan dron juga telah mengenai tapak infrastruktur di daerah Sviatoshynskyi di tebing barat Sungai Dnipro.

Sementara itu, Gabenor wilayah Kiev, Ruslan Kravchenko melaporkan kerosakan kecil pada sebuah kediaman persendirian dan sebuah lagi bangunan tanpa melibatkan korban jiwa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN