fb fb fb fb fb

Serangan di taman rekreasi: 2 maut, suspek warga Afghanistan ditahan

FOTO REUTERS

BERLIN, 22 Januari- Seorang lelaki Afghanistan berusia 28 tahun telah ditahan susulan serangan menggunakan senjata tajam di taman di bandar Aschaffenburg, Jerman, pada Rabu yang mengorbankan dua orang, termasuk seorang kanak-kanak, menurut pihak polis.

Suspek ditahan di lokasi kejadian di Taman Schoental, sebuah taman berkonsepkan gaya Inggeris di bandar Bavaria tersebut, di mana serangan berlaku sekitar pukul 10.45 pagi.

Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 41 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun. Dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan serius sedang menerima rawatan di hospital.

Polis memaklumkan tiada petunjuk mengenai suspek lain dan situasi kini tidak mengancam keselamatan awam.

Kejadian tersebut menambah kepada rangkaian serangan ganas di Jerman, yang mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan dan ketegangan berkaitan isu migrasi, menjelang pilihan raya parlimen pada 23 Februari.

Sebelum ini, seorang doktor dari Arab Saudi telah ditahan selepas insiden melanggar orang ramai di pasar Krismas di bandar Magdeburg pada 20 Disember, yang mengakibatkan enam maut dan sekitar 200 cedera.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE