fb fb fb fb fb

Sepuluh anggota kontinjen Sri Lanka menghilangkan diri

(Foto AFP)

COLOMBO, 8 Ogos- Sepuluh anggota kontinjen Sri Lanka yang mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dilapor meninggalkan pasukan dan menghilangkan diri.

Seorang pegawai sukan tertinggi negara itu berkata, sembilan atlet dan seorang pengurus hilang selepas menamatkan acara mereka.

Mereka disyaki mahu kekal di Britain untuk mendapatkan pekerjaan. Setakat ini, tiga daripadanya telah dikesan pihak polis. Namun tiada tindakan diambil memandangkan mereka tidak melanggar undang-undang tempatan dan mereka juga memegang visa sah selama enam bulan.

Polis sebaliknya meminta pasport yang dipegang pihak pengurusan kontinjen diserahkan balik kepada mereka.


(Kontinjen Sri Lanka ketika hari pembukaan Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom/AFP)

Pihak pengurusan kontinjen Sri Lanka seramai 160 anggota, memegang pasport kesemua anggota mereka bagi memastikan mereka pulang ke Sri Lanka.

Atlet Sri Lanka sebelum ini pernah dilaporkan menghilangkan diri daripada acara-acara antarabangsa.

Pada Oktober tahun lalu, pengurus pasukan gusti Sri Lanka meninggalkan pasukannya dan menghilangkan diri di Oslo semasa satu kejohanan dunia.

Semasa Sukan Asia 2014 di Korea Selatan pula, dua atlet Sri Lanka melarikan diri dan tidak ditemui.-AFP

Media Baharu