fb fb fb fb fb

Semangat perjuangan Salahuddin dorong Nazri bela nasib rakyat

Muar, 1 September - Semangat perjuangan yang ada dalam diri Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mendorong Ir. Nazri Abdul Rahman untuk membela nasib rakyat.

Nazri, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Negeri (DUN) Simpang Jeram, mahu meneruskan legasi Allahyarham dengan membantu keluarga yang juga waris sekiranya berlaku kematian di kawasan itu.

“Sudah pastinya saya akan menyambung apa saja aktiviti-aktiviti yang berkonsepkan Rahmah ini.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini bukan sahaja tertumpu kepada bekalan makanan, kepada golongan B40, M40 tetapi juga kepada inisiatif lain.

“Kita juga perkenalkan bantuan kenduri arwah di mana setiap kali (adanya) kematian kita akan bantu dari segi makanan yang telah siap dimasak untuk diberikan kepada (waris) kenduri arwah,” katanya kepada RTM secara eksklusif baru-baru ini di kediaman rasminya.

(Calon Pakatan Harapan (PH) Ir. Nazri Abdul Rahman/FOTO Facebook Nazri Abdul Rahman)

Tambahnya, konsep bantuan ‘kenduri arwah’ merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Salahuddin sejak memenangi penggal pertama pilihan raya pada 2018.

“Konsep itu lah yang mendekatkan diri Salahuddin kepada rakyat dan saya akan meneruskan bantuan kenduri arwah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Nazri yang merupakan anak ke-14 daripada 17 orang adik beradik itu memulakan karier politik beliau pada tahun 1986.

Beliau juga sebagai Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri dan juga Ketua Biro Ekonomi Pusat Khidmat DUN Simpang Jeram.

Beliau yang kini berusia 56, memaklumkan telah aktif dalam politik Simpang Jeram sejak 2015 apabila menjadi pegawai khas kepada ahli parlimen ketika itu iaitu Salahuddin selama 8 tahun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarik PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram  pada 9 September ini.

PRK tersebut diadakan ekoran kekosongan berikutan kematian mengejut penyandangnya,  Salahuddin pada 23 Julai lalu yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Dalam PRK kali ini, Nazri berdepan saingan tiga penjuru, melawan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Mazri Yahya (Perikatan Nasional) dan calon bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan. 

ARTIKEL BERKAITAN:
Pengundi Simpang Jeram mahu pemimpin boleh buat kerja, senang jumpa
Simpang Jeram: ‘Bertembung parti lawan, tapi elak provokasi’ 
DUN Simpang Jeram sah bertanding tiga penjuru
PRK Simpang Jeram: Semua parti bebas bertanding, legasi perlu diteruskan

Media Baharu