BAITULMUQADDIS, 3 Julai - Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di Gaza, lapor agensi berita Jerman dpa.
Agensi pertahanan awam yang dikendalikan Hamas pada Rabu memaklumkan bahawa bangunan yang terletak di kawasan al-Zeitoun, Bandar Gaza itu menempatkan keluarga pelarian dan tujuh daripada mangsa yang maut adalah kanak-kanak.
Dalam serangan udara berasingan, Pengarah Hospital Indonesia, Marwan Sultan bersama ahli keluarganya turut terkorban apabila kediaman mereka di Gaza dibedil, menurut Kementerian Kesihatan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan di Gaza, lebih 57,000 rakyat Palestin telah terkorban sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.- BERNAMA