fb fb fb fb fb

Sekatan ke atas sektor pertahanan Turkiye dijangka tamat menjelang akhir tahun

Sistem pertahanan udara S-400

ISTANBUL, 30 Jun - Sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas sektor pertahanan Turkiye susulan pembelian sistem pertahanan udara buatan Rusia dijangka akan ditamatkan menjelang akhir tahun ini.

Menurut Duta AS ke Ankara, Tom Barrack diplomat kanan kedua-dua akan duduk semeja mencari jalan penyelesaian dan menamatkan isu tersebut.

"Isu dan pertikaian yang telah berlarutan selama lima tahun, akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan," katanya.

Washington mengenakan sekatan ke atas Ankara pada tahun 2020 susulan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dari Rusia di bawah undang-undang CAATSA 2017 yang bertujuan mengehadkan pengaruh ketenteraan Moscow.

Turkiye juga telah dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35, dengan AS menyatakan bahawa kehadiran sistem S-400 membolehkan Rusia mengumpul maklumat mengenai keupayaan jet pejuang berteknologi AS.

Selasa lalu, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dilaporkan bertemu Presiden Amerika Donald Trump di luar sidang kemuncak NATO di The Hague serta menyeru agar kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara dipertingkatkan.

Turkiye yang sedang berusaha memodenkan kekuatan udaranya, turut berhasrat membeli 40 pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh konsortium empat negara iaitu Jerman, Britain, Sepanyol dan Itali. – AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN