fb fb fb fb fb

Satu daripada lapan kanak-kanak perempuan alami serangan seksual sebelum usia 18 tahun- UNICEF

Foto Hiasan/AFP

NEW YORK, 10 Oktober- Lebih 370 juta kanak- kanak dan wanita seluruh dunia atau satu daripada lapan daripada mereka dirogol atau mengalami serangan seksual sebelum usia 18 tahun, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

UNICEF melaporkan jumlah itu meningkat kepada 650 juta, atau satu daripada lima apabila mengambil kira bentuk keganasan seksual "bukan hubungan", seperti penderaan dalam talian atau lisan menerusi satu tinjauan global yang dilakukan.

Laporan itu mengatakan bahawa walaupun kanak-kanak perempuan dan wanita paling teruk terjejas, namun 240 hingga 310 juta lelaki atau sekitar 1 dalam 11, telah mengalami rogol atau serangan seksual semasa zaman kanak-kanak.

"Skala pelanggaran hak asasi manusia ini sangat besar, dan sukar untuk difahami sepenuhnya kerana stigma, cabaran dalam pengukuran dan pelaburan terhad dalam pengumpulan data," kata UNICEF dalam laporan itu.

Ia datang menjelang Persidangan Peringkat Menteri Global yang julung kali diadakan mengenai Mengakhiri Keganasan Terhadap Kanak-kanak di Colombia bulan depan.

UNICEF berkata penemuan itu menandakan keperluan mendesak untuk tindakan global yang diperhebat, termasuk dengan mengukuhkan undang-undang dan membantu kanak-kanak mengenali dan melaporkan keganasan seksual.

UNICEF ​​berkata keganasan seksual merentasi sempadan geografi, budaya dan ekonomi di mana Afrika mempunyai jumlah mangsa tertinggi, dengan 79 juta kanak-kanak perempuan dan wanita, atau 22 peratus terjejas.

Ia diikuti dengan Asia Timur dan Tenggara iaitu sebanyak 75 juta, atau 8 peratus.

Dalam datanya untuk wanita dan kanak-kanak perempuan, UNICEF ​​menganggarkan 73 juta, atau 9 peratus, terjejas di Asia Tengah dan Selatan; 68 juta, atau 14 peratus, di Eropah dan Amerika Utara; 45 juta, atau 18 peratus, di Amerika Latin dan Caribbean, dan 29 juta, atau 15 peratus, di Afrika Utara dan Asia Barat.

Oceania, dengan 6 juta, mempunyai jumlah tertinggi yang terjejas iaitu 34 peratus.

Pengarah eksekutif UNICEF,​​Catherine Russell menyebut keganasan seksual terhadap kanak-kanak sebagai "noda pada hati nurani moral kita."

"Ia menimbulkan trauma yang mendalam dan berkekalan, selalunya oleh seseorang yang dikenali dan dipercayai oleh kanak-kanak itu, di tempat di mana mereka sepatutnya berasa selamat."

"Kebanyakan keganasan seksual kanak-kanak berlaku semasa remaja, terutamanya antara umur 14 dan 17, dan mereka yang mengalaminya berdepan risiko penyakit seksual, penyalahgunaan bahan dan masalah kesihatan mental yang lebih tinggi.

"Impaknya bertambah teruk apabila kanak-kanak menangguhkan pendedahan pengalaman mereka ... atau merahsiakan penderaan sama sekali," katanya. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI