(FOTO REUTERS)
ERIE, 14 Ogos- Pengarang novel kontroversial "The Satanic Verses", Salman Rushdie kekal dirawat di hospital dalam keadaan serius selepas ditikam berkali-kali dalam serangan mengejut di sebuah acara kesusasteraan di New York.
Penulis Britain itu yang menghabiskan masa bertahun-tahun bawah perlindungan polis selepas pemimpin Iran mengarahkan pembunuhannya, menjalani pembedahan kecemasan dan kini bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Menurut ejennya Andrew Wylie, saraf di salah satu lengan Rushdie telah terputus dan hatinya rosak, dia "kemungkinan akan kehilangan sebelah mata."
Rushdie, 75 tahun, diserang seorang lelaki berusia 24 tahun, Hadi Matar yang bergegas ke pentas ketika dia hendak menyampaikan syarahan dan menikam leher dan abdomennya.
(Salman Rushdie dimasukkan ke dalam helikopter untuk pemindahan perubatan berhampiran
Institusi Chautauqua selepas ditikam di leher/AFP)
Siasatan sedang dijalankan dan motif serangan belum dipastikan.
Pada 1989, pemimpin tertinggi Iran ketika itu Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa supaya Rushdie dibunuh berikutan penerbitan novel “The Satanic Verses” yang dikatakan menghina agama. -AFP