(Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov/AP)
MOSCOW, 2 Mei - Rusia tiada rancangan untuk menamatkan perang di Ukraine menjelang Hari Kemenangan atau 'Victory Day' pada 9 Mei, kata menteri luarnya.
Bercakap dengan media Itali, Sergei Lavrov menegaskan, Moscow tidak akan tergesa-gesa menamatkan apa yang dipanggil "operasi ketenteraan khas" tepat pada masanya untuk ulang tahun Nazi Jerman menyerah kalah kepada perikatan bersekutu yang ketika itu termasuk Kesatuan Soviet pada 1945 .
"Tentera kami tidak akan menyesuaikan tindakan mereka dengan mana-mana tarikh, termasuk Hari Kemenangan," kata Lavrov dalam wawancara yang dikeluarkan Ahad.
“Kepantasan operasi di Ukraine bergantung, pertama sekali, pada keperluan untuk meminimumkan sebarang risiko kepada penduduk awam dan anggota tentera Rusia,” tambahnya.
(Kanak-kanak keluar dari kilang keluli Azovstal, di Mariupol, Ukraine ketika proses pemindahan orang awam dari lokasi itu, yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu/REUTERS)
Rusia lazimnya meraikan Hari Kemenangan secara besar-besaran, dengan perarakan tentera yang gah di tengah Moscow dan ucapan Presiden Vladimir Putin memuji peranan utama negara itu dalam kekalahan fasisme di Eropah.
Tetapi sambutan tahun ini akan berlatarbelakangkan kempen ketenteraan Moscow di Ukraine, yang telah dibenarkan oleh Putin dengan dakwaan negara bekas Soviet itu memerlukan "denazifikasi".
"Kami akan meraikan 9 Mei dengan sungguh-sungguh, seperti yang selalu kami lakukan. Ingat mereka yang gugur untuk pembebasan Rusia dan republik lain bekas USSR, untuk pembebasan Eropah daripada wabak Nazi," kata Lavrov. -AFP