fb fb fb fb fb

Ribuan rakyat Serbia protes tuntut Pilihan Raya awal

Orang ramai menyertai demonstrasi bagi mendesak Presiden Serbia mengadakan pilihan raya awal/Foto AFP

BELGRADE, 2 Jun – Ribuan rakyat Serbia termasuk pelajar berhimpun di lebih 30 bandar seluruh negara yang mendesak Presiden Aleksandar Vucic agar mengadakan pilihan raya awal.

Gelombang bantahan yang diwakili golongan pelajar itu tercetus susulan insiden bumbung stesen kereta api runtuh di Novi Sad pada November tahun lalu, yang meragut 16 nyawa.

Tragedi itu telah mencetuskan kemarahan rakyat dan dikaitkan dengan amalan rasuah yang berleluasa dalam pentadbiran.

“Kami mahu pilihan raya,” laung penunjuk perasaan ketika berarak di Belgrade sambil menyekat dua jambatan utama di ibu negara.

Seorang pelajar muzik, Nikola berkata, mesej yang ingin disampaikan jelas iaitu menuntut perubahan.

“Lebih 30 bandar di Serbia berhenti hari ini untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa keadaan ini tidak boleh diteruskan.

"Kami sudah menunggu enam bulan tetapi tiada sebarang tindakan. Ini bukan lagi soal Belgrade atau pelajar semata-mata, ini soal seluruh Serbia,” katanya.

Di Novi Sad, tempat tercetusnya gerakan protes, para pelajar berarak ke lokasi stesen yang runtuh sambil menuntut pihak berkuasa bertanggungjawab.

Penunjuk perasaan juga menuntut individu yang menyerang peserta demonstrasi termasuk yang didakwa mempunyai kaitan dengan parti pemerintah pimpinan Vucic yang dihadapkan ke muka pengadilan.

Mereka turut mendesak agar semua pertuduhan terhadap pelajar yang ditahan digugurkan, dan siasatan dijalankan berhubung dakwaan penggunaan meriam bunyi semasa tunjuk perasaan Mac lalu.

Menurut tinjauan NGO CRTA pada April lalu, seramai 59 peratus rakyat Serbia menyokong gerakan protes tersebut, namun angka itu dinafikan pihak berkuasa. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN